Kurang Keyakinan Diri

Soalan :
Saya sering merasa rendah diri dan rasa kekurangan dalam pergaulan? Bagaimana caranya untuk meningkatkan keyakinan diri?
Daripada : Man
Jawapan :
Keyakinan diri bukan sekadar penampilan tetapi adalah percaya kepada diri iaitu percaya kepada kebolehan diri, potensi diri dan sedar tentang kekuatan dan kekurangan diri. Setiap individu mempunyai potensi tertentu yang telah diberikan oleh Allah. Namun, jika individu tidak menjalani kehidupan yang sesuai dengan potensi yang dimiliki itu, maka individu akan merasa kekurangan, rendah diri dan tidak mempunyai keyakinan diri. Terdapat pelbagai kaedah yang boleh dijadikan langkah untuk meningkatkan dan menyuburkan keyakinan diri.
Antara tips mudah yang boleh saya berikan ialah, langkah pertama individu perlu tahu dan sedar tentang kekuatan dan kekurangan diri. Dengan mengetahui dan menyedari kekuatan diri. Individu perlu menggunakan kekuatan diri sehabis baik di tempat dan masa yang diperlukan, manakala dengan mengetahui dan menyedari kekurangan diri, individu perlu berusaha untuk menampung dan membaiki kekurangan tersebut sehingga lah ia bukan lagi dinamakan kekurangan.
Pada ketika diri merasa kurang keyakinan, motivasi diri amat diperlukan. Antara motivasi mudah yang boleh dilakukan oleh diri sendiri ialah mengadakan ‘self talk’ kepada diri sendiri iaitu dengan mengatakan perkara-perkara positif seperti : ‘saya yakin, saya boleh buat…’ atau ‘saya yakin saya boleh lakukan pembentangan dengan baik, oleh itu saya perlu berusaha…’ atau ‘saya perlu bersedia untuk menghadapi risiko itu…’ atau ‘saya rasa kurang pengetahuan tentang perkara itu, oleh itu saya perlu untuk mengkaji dengan lebih mendalam…’
Ini merupakan contoh “self talk” yang saya berikan, namun sebenarnya, apa sahaja ‘self talk’ yang setiap individu boleh buat adalah terpulang kepada diri masing-masing asalkan ia boleh meningkatkan motivasi diri untuk melangkah dengan lebih yakin.
Perkara ini terbukti secara psikologinya dapat membantu individu meningkatkan motivasi diri untuk menjadi lebih yakin, jika sekiranya dilakukan secara bersungguh-sungguh dan berterusan. Belum cuba belum tahu kan? Oleh yang demikian saya ingin mengajak semua pembaca untuk memulakannya sedikit demi sedikit walaupun pada awalnya akan merasa janggal dan pelik tapi lama kelamaan jika diamalkan dengan baik, ‘self talk’ ini akan memberi tenaga positif untuk kita tampil lebih yakin. Ingat ya, tiada yang mustahil untuk kita capai sekiranya keyakinan diri menjadi pemangkin kepada setiap perkara yang ingin dilakukan.
SELAMAT MENCUBA!
Harzurita Hassan
Alamat emel ini dilindungi dari Spambot. Anda perlu hidupkan JavaScript untuk melihatnya.

Bagaimana Mengekalkan Minda yang Sihat

Soalan :
Bagaimanakah kaedah terbaik sebagai seorang individu normal untuk mengekalkan mental sihat?
Jawapan :
Terdapat pelbagai kaedah yang telah disyorkan oleh pakar-pakar psikologi bagi mengekalkan mental sihat.
Antara kaedahnya ialah, setiap individu boleh cuba sedikit demi sedikit menukar daripada corak pemikiran negatif kepada positif. Setiap kali fikiran negatif hadir individu boleh berusaha untuk menukar corak pemikiran tersebut kepada yang positif. Sifat asertif juga adalah antara langkah untuk megekalkan mental yang sihat. Sifat asertif adalah merupakan individu yang berupaya untuk mengatakan “tidak”, berupaya mengeluarkan pendapat dengan berhemah, berupaya untuk menanggani kritikan dengan baik dan juga bersifat tegas diri dengan berupaya membuat pertimbangan dengan baik tentang sesuatu kebaikan dan keburukan. Pengambilan makanan yang seimbang, rehat dan tidur yang cukup juga antara kaedah untuk mengekalkan mental sihat. Antara tips lain untuk mengekalkan mental sihat adalah individu cuba untuk menerima diri sendiri dan juga belajar untuk menjadi diri sendiri. Mudah bukan?
               
Individu yang sihat mental berupaya untuk mengekalkan hubungan yang sihat dengan individu lain, selesa dengan diri sendiri, selesa dengan persekitaran dan juga selesa dengan individu lain. Kesihatan mental perlu dijaga bagi menjamin kesejahteraan hidup kita walau di mana sahaja kita berada dan dengan menjaga kesihatan mental kita dapat memberi yang terbaik sama ada dalam kehidupan seharian dan juga dalam pekerjaan kita. Oleh yang demikian, langkah-langkah mudah
di atas perlu dicuba dan dijadikan amalan/rutin dalam kehidupan seharian supaya kita tidak mudah dijangkiti
penyakit-penyakit psikologi
Oleh : Harzurita Hassan