KEGAGALAN HANYA "KEJAYAAN YANG TERTUNDA"


Kita sering mendengar pepatah seperti “Usaha Tangga Kejayaan”, “Hendak Seribu Daya, Tak Hendak Seribu Dalih” dan “Kalau Tak Dipecahkan Ruyung, Manakan Dapat Sagunya”. Semua pepatah ini adalah berkaitan dengan semangat yang perlu ada sekiranya kita berkehendakkan sesuatu. Tetapi, ada masanya kita berhadapan situasi di mana kita telah berusaha bersungguh-sungguh tetapi kejayaan masih belum menampakkan hasilnya. Kita masih gagal mendapatkan apa yang kita cita-cita dan harapkan. Keadaan ini mula menjadikan kita seorang yang kecewa, hilang keyakinan diri, malah berputus asa untuk mencuba lagi dan mengutuk kekurangan diri sebagai penyebab kegagalan. Yang paling teruk, bila kita mula memikirkan apakah tanggapan orang terhadap kita. Kita menyangka orang akan mula melihat kita sebagai orang yang gagal. Bila keadaan ini berlaku, kita sebenarnya tidak lagi menjadi orang yang berlapang dada dan menerima apa-apa sahaja yang ditakdirkan untuk kita.                 
Sebenarnya, tiada istilah gagal dalam hidup ini. “Kegagalan” hanya muncul di dalam minda kita apabila kita mula berputus asa dalam mengusahakan sesuatu perkara. Setiap perkara yang berlaku kepada kita samada yang positif mahupun negatif, sesungguhnya adalah satu bentuk pembelajaran kepada kita. Pastinya tidak akan ada istilah “kegagalan” dalam kehidupan, sekiranya kita menganggap sesuatu perkara yang tidak berjaya dicapai itu cuma suatu “kejayaan yang tertunda”, kerana belum sampai masanya.                 
Apabila bila kita mengatakan “kegagalan” itu satu bentuk pembelajaran, pastinya kita akan mula mengatur strategi yang baru selepas gagal dalam satu-satu perkara. Kita pastinya akan mengelakkan diri dari mengulangi kesilapan yang sama dengan mencari mencari jalan yang lain. Jangan terus menggunakan cara yang sama tetapi sebaliknya ubah cara berfikir, cara bertindak dan strategi atau kaedah. Orang yang membuat sesuatu yang sama tetapi mengharapkan hasil yang berbeza, ialah orang yang menempah kegagalan sejak dari awal lagi.                
Kegagalan bukan penamat segalanya. Teruskan mengorak langkah baru, dengan azam dan tekad baru. Biarpun seribu kali kita terjatuh, teruskan mengumpul segala kekuatan diri untuk bangkit semula. Langkah pertama, bersyukur dan reda dengan apa yang terjadi dan kemudian bermohonlah kepadaNya untuk diberikan kekuatan bagi meneruskan langkah baru yang seterusnya.  Ayuh teman-teman.. Walau sejauh mana langkah perlu diatur untuk meredah kegelapan terowong, yang pasti di hujungnya akan ada cahaya yang akan menerangi kegelapan.
oleh : Kak Njang
        LIGHT AT THE END OF THE TUNNEL

NILAI SEBUAH SENYUMAN

Bila sebut tentang “Senyum”, kita selalu terdengar-dengar bait-bait lagu “Senyum” yang dimainkan di corong radio dan television dengan memaparkan pelbagai wajah-wajah senyuman. Apa sebenarnya rahsia di sebalik sebuah senyuman hingga tercipta lagu khusus untuknya? Apa istimewanya Sebuah Senyuman? Tersenyum adalah suatu tindakan yang paling mudah, paling sederhana, paling murah dan paling menyenangkan di dunia. Namun, seringkali kita melupakan tindakan ini dalam kehidupan kita sehari-hari dek kerana penangan masalah-masalah kerja, keluarga dan tekanan-tekanan sekeliling. Jadi, biar kita renung kembali apa antara rahsia Sebuah Senyuman.

 

Senyuman boleh dikatakan sebagai ubat paling mudah. Orang yang mudah tersenyum dan menjalani kehidupan sehari-hari dengan hati yang tenang dan ceria biasanya terhindar dari penyakit stress. Jantungnya akan berdenyut secara normal yang memungkinkan ia terselamat dari perbagai macam penyakit ketegangan. Senyuman juga merangsang pengeluaran endorphins (sejenis bahan kimia yang dihasilkan oleh otak untuk mengurangkan rasa sakit).

 

 

Di samping itu, orang yang mudah tersenyum juga lebih Awet Muda. Semasa seseorang itu senyum, 16 otot muka digerakkan untuk membentuk senyuman manis berbanding 43 otot digunakan apabila muka seseorang itu masam. Maka dari itu, tidak hairan jika kita sering bertemu seseorang yang ceria dengan usia
50-an tahun mepunyai wajah masih tetap segar dan sihat. Lain pula halnya dengan orang yang pemarah, selalu ikut perasaan, selalu stress yang biasanya kelihatan lebih tua daripada usianya yang sebenar.
Ditinjau dari segi sosial, tersenyum juga merupakan suatu perbuatan yang punya nilai untuk menghormati orang lain. Dengan senyuman juga mampu merapatkan hubungan dan mengharmonikan sesebuah rumahtangga, pejabat malah sebuah komuniti. Senyuman akan menjadi suatu lambang ke arah keakraban dalam pergaulan masyarakat. Ini akan dapat menambah suasana lebih hangat, indah dan harmoni. Oleh itu, orang yang murah senyum amat menyelesakan ketika berurusan dengannya.
Dari segi penampilan pula, senyuman dapat memperbaiki penampilan dan menambah daya tarikan. Mana yang lebih senang didekati dan lebih dihormati? Seorang ketua yang mudah melemparkan senyuman atau seorang yang “kedekut” senyuman? Rata-rata jawapan yang diterima pastinya yang mudah memberikan senyuman. Perasaan hormat tidak akan hilang untuk seorang ketua yang pemurah senyuman, malah sebenarnya akan bertambah di kalangan anggota bawahannya.
Senyum juga mampu mengubah mood kita. Ia bermaksud maklumbalas dari ekspresi wajah seseorang akan mempengaruhi emosi dan perlakuannya. Ini bermakna mood seseorang boleh ditingkatkan dengan senyuman. Senyuman juga sebenarnya memberikan kita kekuatan saat kita menghadapi kesulitan.
Tapi, ingat.. jangan pula senyuman kita menjadi tidak ikhlas dan membawa keburukan. Biarlah senyuman yang dilemparkan adalah Senyum Ketulusan bukannya Senyum Sinis yang terbentuk dari perasaan dendam kesumat dan tidak ikhlas hingga boleh menyakiti hati orang yang melihatnya. Atau Senyum Menggoda yang bertujuan untuk mengoda seseorang di mana sekiranya tersilap langkah dapat menjerumuskan seseorang ke dalam jurang kemaksiatan. Nanti lain pula jadinya.
Ayuh! apa ditunggu lagi? Budayakanlah senyum dan salam kemesraan tidak kira di mana kita berada. Kini kita sudah tahu hikmah dan manfaat di sebalik senyuman itu sendiri, maka bergegaslah memperbaiki diri kita dengan senyuman dari hati yang paling tulus ikhlas. Mari kita latih diri kita untuk senyum dengan tulus, di mana saja dan bila-bila saja dan kepada sesiapa sahaja. Selain membuat kita merasa bahagia, orang lain pun menjadi tertarik dengan kemuliaan sikap kita. Kerana itu layarilah bahtera hidup kita dengan senyuman yang tulus ikhlas semata-mata kerana Senyum Itu Sendiri Adalah Sedekah", semoga ada ganjaran di sisiNya.
DSC 6445
oleh : Tok Kijang

Mahalnya Ucapan Terima Kasih

Percaya ataupun tidak jika dikatakan kebanyakan masyarakat hari ini agak sukar mengungkapkan ucapan “Terima Kasih” dalam kehidupan seharian ekoran menganggap ia bukan satu perkara penting. Walaupun sebutannya amat mudah malah kanak-kanak juga mampu menuturkannya dengan baik, namun ianya berat dan kelu untuk dijadikan pakaian lidah bagi kebanyakan masusia.
Kalau diajukan “mengapa”, semuanya berbalik kepada reality semasa yakni, hampir kebanyakan daripada kita mengambil mudah atau tidak merasa akan kesan dan kepentingan ucapan keramat itu. Namun, tanpa disedari adakalanya kita turut mempersoalkan keperibadian seseorang berikutan tiada ucapan terima kasih dipertuturkan, sekaligus memberi erti bahawa ucapan itu sangat bermakna , terutamanya bagi menggambarkan rasa penghargaan di atas sesuatu sumbangan atau kebaikan seseorang.
Walau bagaimanapun, sebelum menuding jari kepada orang lain, tanya diri sendiri dahulu samada sudahkah kita mampu membudayakan ucapan terima kasih dalam kehidupan seharian kita? Begitu mahalnya ucapan itu, sehingga adakalanya perlu diingatkan terlebih dahulu untuk berbuat demikian dan ia pastiya satu keadaan yang sangat malang dan “menyedihkan”. Sebagai contoh, seorang suami begitu sukar untuk merakam ucapan terima kasih di atas khidmat seorang isteri yang terlalu banyak dalam sesebuah rumahtangga. Sebaliknya, bila isteri melakukan sedikit kesilapan sahaja, cepat pula sang suami menyumpah seranah. Bayangkan betapa indahnya kehidupan sebuah rumahtangga jika seluruh ahli keluarga sentiasa mengucapkan ucapan terima kasih daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara. Jika ucapan ini sentiasa meniti di bibir, sudah pasti akan tercerna suasana hormat menghormati dan saling menghargai di atas segala sumbangan atau kebaikan yang dijelmakan. Begitu juga keadaannya jika ucapan terima kasih ini menjadi budaya dalam sebuah pejabat, maka akan tersirnalah suasana yang harmoni dan kondusif serta amat menyeronokkan sewaktu bekerja. Bayangkan jika bos kita sentiasa melahirkan ucapan terima kasih dan penghargaan atas apa juga kebaikan dan kerja yang disempurnakan oleh anak buahnya dan begitu juga sebaliknya.
Biar apapun sebutannya, namun tujuannya tetap sama, yakni sebagai lambang penghargaan betapa kita menghargai apa yang dilakukan oleh orang itu kepada kita. Ucapannya mudah, namun nilai di sebalik perkataaan ini sangat bermakna kepada seseorang dan boleh memberikan kebahagiaan, kegembiraan kepada si penerima. Bagi Umat Islam, terima kasih turut disesuaikan dengan kalimah “Syukur” yakni diucapkan bagi menyatakan perasaan gembira sebaik menerima sesuatu nikmat, rezeki sebagai menghargai anugerah pemberian Allah.
Secara jujurnya, berapa ramai antara kita mempraktikkan ucapan kalimah itu kepada pemandu bas, teksi, petugas tol, penjaga kaunter dan seumpamanya? Berapa ramai juga yang mengucapkan terima kasih kepada pengawal keselamatan yang membuka pintu untuk anda? Pernahkan anda menuturkan perkara itu kepada pembantu kafeteria yang menolong mengutip pinggan atau gelas kotor yang kita gunakan? Dan terucapkah anda “Terima Kasih” kepada pencuci pejabat apabila meja tempat kerja anda dibersih dan dikemaskan? Ambil masa dan fikir sejenak. Itu hanya sebahagian sahaja kerana masih banyak lagi senario yang memerlukan pengucapan terima kasih itu dilontarkan namun dipandang remeh oleh segelintir manusia. Paling tidak masuk akal apabila ada bermentalitikan pekerja-pekerja ini tidak sewajarnya menerima ucapan terima kasih kerana sudah menjadi kewajipan mereka.
 
Kesimpulannya, sekiranya ucapan terima kasih ini menjadi budaya kita, kemanapun kita pergi akan disenangi dan dihormati lantaran ajaibnya kalimah ucapan ini mampu mendidik kita untuk sentiasa menghargai dan menghormati orang lain tanpa mengira darjat , umur, bangsa dan agama.

AKU DAN KAWASAKI ER6N

Aku memang suka naik motor. Masa aku kecik dulu abang aku dah beli motor baru jenis Yamaha YB 100cc. Nombor plat JJ 8197. Rasa glamer betul la masa tu kalau ada motor. Aku rasa tak sabar betul nak jadi dewasa, boleh main motor, macam syok je kalau dapat naik motor. Rupa-rupanya memang syok main motor ni. Sentiasa simpan angan-angan nak beli superbike.
 
Tapi bila dah kerja, nampak keperluan kereta lebih penting pulak. Tapi kapcai wajib ada, jadi kapcai yang aku ada Yamaha Y80 sebagai penghibur dan penyelamat. Oleh kerana rumah dan tempat kerja tak jauh iaitu kurang dari 10 km, jadi kapcai Y80 paling efisyen, jimat minyak dan tak banyak buat masalah kat aku.
 
Aku tinggal di Bangi bandar ilmu katanya, Universiti Kebangsaan Malaysia jadi penanda dan budak budak UKM ni terutama budak perempuan masing-masing ada motor dan ada juga yang pakai Yamaha LC. Budak budak ni ride punya la laju… Bab kena potong dengan budak U perempuan ni memang pantang aku la ..., potong sayur je aku dengan Y80 aku. Ini boleh naikkan darah rempit aku … tapi tu la aku cuma ada Y80 je….
 
Setiap kali aku balik kampung bila terserempak dengan geng superbike berdesup-desup di Lebuhraya, terliur la aku, tapi telan je la kan… selalunya bila nampak gang superbike ni akan terkeluar dari mulut aku perkataan ini.
 
"Aku mesti beli superbike ni ... one day "
 
Bini aku pula akan balas cakap aku ...
 
"Dah tua ... umur tak sesuai... ingat la masjid" aku senyum je la …
 
Entah ke berapa kali aku ulang "perkataan aku" tu akhirnya ....

 

 

...Sambung Siri 2...

 

Tulisan;

Haji Z800

AKU DAN KAWASAKI ER6N...siri ke 2

Misi mencari superbike

 

Selalu sangat aku sebut nak beli superbike ni hingga satu hari tu bini aku pun tak tahan dan akhirnya keluar la perkataan ni ....

 

" asyik cakap je ... beli la ..."

 

haaa ... itu kira lesen paling beso tu .. Tapi aku ni cakap je, hapah pun tak ada, poket kosong, biar aku cerita sikit sebelum beli superbike.

 

1. Kita kena ada duit la kan, sekurang kurangnya 20k tunai. Kalau nak beli superbike terpakai lagi    la perlukan wang tunai. Kalau beli yang betul betul baru lagi la banyak kena keluar modal

 

2. Lesen menunggang juga kena upgrade dari B2 kepada B full. Susah juga ujiannya, tapi aku test      di JPJ sekali je tau. Bangga gila ..

 

3. Niat kena betul ye … sekali kita ride superbike ni, hati hati sebab akan muncul ciri ciri riak dan    Ujub, tu je ...

 

4. Penyelenggaraan superbike ni memang melampau, biayanya agak kasar, jangan sampai guna    duit dapur ye ...

 

 

Sebenarnya banyak lagi la, cuma berani beli berani tanggung ye ...

 

Misi mencari motosikal kuasa tinggi @ superbike pun dimulakan. Mula mula selak dulu mudah.com.

 

Di sini ada banyak panduan, model motor, tahun dibuat, harga semasa, lepas tu kalau berkenan boleh terus buat tawar menawar.

 

Bila aku nampak Kawasaki ER6N plat no. JLT 9814 ni, terus berkenan, plat J, warna putih dan harga pun ngam dengan bajet. Bulan Ogos 2014, rasmilah JLT 9814 jadi milik aku. Yang best nya masa tu aku cuma ada lesen L je untuk lesen B full .

 

Hantam saja la, janji ada lesen. Tapi tak da la nak gantung L di Superbike tu .. malu le.

 

 

Sambung Siri 3...

 

 

Tulisan; Haji Z800