DSC 0004JPG

 

 

 

Program    : Lawatan Sambil Belajar ke Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur 2017

Tarikh       : 3 November 2017

Tempat     : Pusat Transit Gelandangan, Kuala Lumpur

Penganjur : AKRAB PKNS

 

Pada 3 November 2017, seramai 24 orang ahli AKRAB PKNS, 11 orang ahli Anak Angkat AKRAB PKNS dari Pejabat Daerah/Tanah Hulu Selangor, Pejabat Daerah/Tanah Kuala Selangor, Pejabat Daerah/Tanah Gombak, Majlis Daerah Kuala Selangor, Majlis Perbandaran Ampang Jaya dan Majlis Perbandaran Selayang serta 4 orang Ahli Jawatankuasa AKRAB Negeri Selangor telah melawati Pusat Transit Gelandangan di Kuala Lumpur.

 

 Objektif lawatan ini adalah sebagai pendedahan dan bertukar-tukar pandangan khususnya dalam perkara-perkara seperti fungsi serta aktiviti Pusat Transit Gelandangan dalam program pemulihan serta bantuan kepada para gelandangan dan mengadakan sesi perkongsian bersama penghuni Pusat Transit Gelandangan tersebut. 

 

Ahli-ahli AKRAB telah diberi taklimat mengenai peranan pusat transit tersebut di mana Pusat Transit Gelandangan KL ini boleh memuatkan 200 orang gelandangan dalam satu-satu masa dan bangunan pusat transit ini terbahagi kepada 2 tingkat bagi mengasingkan gelandangan lelaki dan perempuan. Di pusat transit ini juga terdapat Klinik Bulan Sabit Merah untuk merawat kes-kes kecemasan yang dihadapi oleh gelandangan, dewan makan yang luas yang boleh memuatkan seramai 150 orang dalam satu-satu masa, surau lelaki dan perempuan, kemudahan bilik mandi/tandas dan bilik mencuci pakaian yang dilengkapi mesin basuh moden untuk kegunaan para gelandangan.

 

Di kesempatan yang ada, ahli-ahli AKRAB juga mengedarkan makanan kepada gelandangan yang ada di pusat transit tersebut dan telah berpeluang berkongsi pengalaman serta mendengar kisah hidup mereka.

 

Konklusinya, banyak pengajaran yang dapat digarap dari lawatan ini. Antaranya, menimbulkan keinsafan dalam diri di mana membuatkan kita lebih mensyukuri kehidupan sendiri. Selain daripada itu, kita juga jangan mudah menghukum sesuatu perkara yang berlaku tanpa mengetahui punca sebenar.